fb fb fb fb fb

Produktiviti buruh Malaysia meningkat 3.4 peratus suku kedua 2025

Produktiviti buruh per pekerja turut meningkat 2.8 peratus pada suku kedua 2025, dengan nilai ditambah per pekerja mencecah RM24,887 seorang berbanding suku sebelumnya/Foto FB DrUzir Mahidin

PUTRAJAYA, 21 Ogos - Produktiviti buruh Malaysia per jam bekerja mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus dengan RM43.2 setiap jam pada suku kedua 2025.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ia sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang 4.4 peratus pada suku kedua 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan sama seperti suku pertama.

“Produktiviti buruh Malaysia berada pada landasan baik dengan prospek yang berdaya tahan walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi dan pembaharuan pasaran buruh," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, jumlah jam bekerja meningkat 1.0 peratus kepada 9.7 bilion jam berbanding suku sebelumnya.

Produktiviti buruh per pekerja turut meningkat 2.8 peratus pada suku kedua 2025, dengan nilai ditambah per pekerja mencecah RM24,887 seorang berbanding suku sebelumnya.

Ini disokong oleh peningkatan 1.6 peratus jumlah bilangan pekerja kepada 16.8 juta orang.

Antara sektor yang menyokong pertumbuhan ini termasuk sektor pembinaan yang melonjak 9.3 peratus, diikuti sektor pembuatan (3.7%), perkhidmatan (3.6%) dan pertanian (3.5%).

Bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian terus mencatatkan penyusutan sebanyak -4.6 peratus.

Dari segi sektor perkhidmatan, pertumbuhan produktiviti buruh pada suku kedua 2025 itu disokong oleh peningkatan beberapa subsektor utama.

"Antaranya hartanah dan perkhidmatan perniagaan (9.1%), pengangkutan dan penyimpanan (7.1%), perkhidmatan lain (6.7%), perdagangan borong dan runcit (3.5%), maklumat dan komunikasi (3.3%), makanan, minuman dan penginapan (2.3%) serta kewangan dan insurans (0.6%)," jelasnya dalam kenyataan sama.

Sementara itu, sektor pembuatan mencatat pertumbuhan didorong oleh minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan dan pemprosesan makanan (13.9%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (5.4%), produk elektrik, elektronik dan optikal (5.1%).

Selain itu, produk kayu, perabot, kertas dan percetakan dan turut mencatat pertumbuhan sebanyak (1.4%) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (0.3%).

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI