fb fb fb fb fb

RUU Perolehan Kerajaan perkukuh pelaksanaan kontrak prestasi dan kolaborasi industri

Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency (TDA), Dr. Sharoul Jambari

CYBERJAYA, 21 Ogos – Penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUU PK) dijangka memperkukuh pelaksanaan Kontrak Berasaskan Prestasi (PBC) serta Program Kolaborasi Industri (ICP).

Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency (TDA), Dr. Sharoul Jambari berkata ketiadaan undang-undang khusus ketika ini menyebabkan sebahagian kontrak perolehan kerajaan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Walaupun kedua-dua program ini terbukti memberi manfaat besar kepada kerajaan dari segi tadbir urus, pembangunan teknologi dan pertumbuhan industri, masih wujud cabaran pelaksanaan kerana tiada kuasa penguatkuasaan.

“Dengan adanya Akta Perolehan, lebih banyak peluang kerajaan dapat dilaksanakan menggunakan konsep ICP dan PBC,” katanya pada Bengkel Pengamal Perolehan Berasaskan Prestasi Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Jelas beliau, daripada 86 kontrak perolehan bernilai lebih RM7 bilion di pelbagai agensi kerajaan, lebih 40 kontrak telah berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam pemantauan.

Kontrak berkenaan melibatkan kementerian serta agensi utama termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut Dr. Sharoul, PBC diwajibkan bagi kontrak berasaskan Penyelenggaraan, Pembaikan, dan Operasi (MRO) yang bernilai melebihi RM25 juta.

“Pelaksanaan PBC bertujuan meningkatkan tadbir urus kontrak, mengurangkan ketirisan, memastikan nilai berbaloi serta mengoptimumkan pengurusan aset negara supaya sentiasa disenggarakan dan berfungsi dengan baik,” katanya.

RUU PK dijangka dibentangkan di Parlimen minggu ini bagi mewujudkan kerangka perundangan yang menyelaras proses perolehan kerajaan, memperincikan kuasa pihak berkepentingan serta menetapkan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memastikan tadbir urus yang baik serta mematuhi amalan terbaik antarabangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN