KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Pengurangan kadar tarif balas oleh Amerika Syarikat ke atas import dari Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dijangka meningkatkan daya saing eksport negara di pasaran global.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata, langkah tersebut memberi kelebihan kepada pengeksport tempatan untuk mengekalkan margin keuntungan, di samping mengelakkan pembatalan tempahan sedia ada susulan tekanan kos.
Menurutnya, penurunan kadar tarif secara langsung mengurangkan kos membawa masuk barangan ke pasaran Amerika Syarikat, terutama dalam sektor yang sensitif kepada harga.
“Penurunan ini akan membantu pengeksport Malaysia kekal bersaing dalam pasaran sensitif harga seperti Amerika Syarikat,” katanya ketika dihubungi RTM pada Jumaat.
Jelasnya, sektor eletrik dan eletronik, khususnya semikonduktor, menerima manfaat terbesar apabila dikecualikan sepenuhnya daripada tarif. Langkah ini bukan sahaja mengekalkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global, malah berpotensi memperkukuh peranan negara dalam sektor tersebut.
Dalam pada itu, sektor lain seperti perabot dan getah turut meraih manfaat apabila kadar tarif dikurangkan sebanyak enam peratus. Pengurangan ini menjadikan harga eksport Malaysia kira-kira 4.8 peratus, lebih rendah berbanding kadar asal iaitu 25 peratus, sekali gus membantu mengekalkan daya saing negara di pasaran antarabangsa.