ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 2 Ogos - Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menjadi pelan strategik negara bagi melonjakkan struktur ekonomi melalui pendekatan baharu yang lebih berani dan berpaksikan penciptaan nilai oleh rakyat Malaysia sendiri.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara langkah utama yang diperkenal dalam RMK13 ialah pelaksanaan dasar gaji progresif dengan struktur berstrata berdasarkan tahap kemahiran.
Beliau yang juga pemangku Menteri Ekonomi berkata, dasar berkenaan dijangka mampu meningkatkan mobiliti sosial rakyat dalam jangka sederhana dan panjang sekali gus memperkukuh daya saing tenaga kerja tempatan serta memacu pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif.
"Kerajaan mencadangkan pelaksanaan struktur gaji progresif mengikut tahap kemahiran dengan kadar permulaan sekitar RM1,700 bagi pekerja berkemahiran rendah, RM2,000 bagi pekerja berkemahiran sederhana dan RM3,000 bagi graduan.
Dasar ini bertujuan memberikan ganjaran setimpal berdasarkan tahap kemahiran serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pemberian sokongan dan insentif kepada pihak industri," katanya kepada RTM selepas program Bicara Naratif Khas di sini, pada Jumaat.
Tambahnya lagi, RMK13 merupakan pelan lonjakan struktur ekonomi negara yang menekankan anjakan paradigma daripada 'Made in Malaysia' kepada 'Made by Malaysia' dengan fokus pemilikan inovasi dan penciptaan nilai rakyat sendiri.
Rancangan tersebut turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa rakyat tempatan sebagai pemilik inovasi dan pencipta harta intelek (IP), bukan sekadar pelaksana kepada pelaburan asing semata-mata.
Pendekatan ini selari dengan matlamat bagi mewujudkan keadilan ekonomi dan memperkukuh peranan rakyat dalam ekosistem ekonomi berteraskan nilai.
RMK13 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis, dilihat sebagai pelengkap kepada aspirasi ekonomi MADANI sekali gus menjadi dokumen rujukan utama bagi penyediaan peruntukan tahunan dalam belanjawan negara akan datang.