ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 2 Ogos - Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan berlandaskan pendekatan berasaskan data dan sistem pemantauan menyeluruh bagi memastikan bantuan kerajaan sampai tepat kepada golongan sasar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah tersebut penting khususnya dalam menangani isu kos sara hidup serta memperkukuh pembangunan luar bandar.
Beliau yang juga pemangku Menteri Ekonomi berkata, antara bentuk bantuan yang berada di bawah kerangka RMK13 termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang menjadi antara mekanisme sokongan langsung kepada rakyat.
"Kerajaan menggunakan pendekatan penyasaran berasaskan data yang tepat, termasuk melalui penggunaan nombor kad pengenalan bagi memastikan bantuan disalurkan secara berkesan. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan ketirisan, malah memberi jaminan hanya rakyat Malaysia yang benar-benar layak akan menerima bantuan," katanya secara eksklusif kepada RTM selepas program Bicara Naratif Khas di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, bagi mengelakkan rakyat terus bergantung sepenuhnya kepada bantuan semata-mata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh rantaian bekalan negara.
Beliau menjelaskan, langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import sekali gus membantu menstabilkan harga barangan keperluan asas.
Mengulas mengenai aspek ketelusan dan kawalan fiskal, beliau berkata, Kementerian Ekonomi akan menekankan pemantauan prestasi secara menyeluruh terhadap semua program pembangunan di bawah RMK13.
Katanya, pelaporan prestasi akan dibuat secara berkala dan dibentangkan hingga ke peringkat Jemaah Menteri bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak kepada rakyat.
"Kerajaan mempunyai indikator dan sasaran yang jelas bagi setiap program. Sekiranya terdapat keperluan, intervensi boleh dilaksanakan segera bagi memastikan pelaksanaan mengikut landasan yang telah ditetapkan serta mencapai impak yang dihasratkan," katanya.
Menurut beliau, pembaharuan menerusi penggubalan akta baharu seperti Akta ILTIZAM turut memainkan peranan penting dalam menutup ruang ketirisan serta memastikan integriti dalam pelaksanaan setiap projek pembangunan.