KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan, dipacu peningkatan sentimen pelabur berikutan penurunan tarif Amerika Syarikat (AS) dan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bermula 4 Ogos ini pada persidangan Parlimen.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam julat 1,545 hingga 1,555.
Beliau berkata saham berorientasikan eksport dijangka meneraju peningkatan, dengan kaunter teknologi bersedia menerima manfaat daripada penyesuaian semula rantaian bekalan global dan agenda pendigitalan negara yang sedang dilaksanakan.
“RMK13 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menjadi landasan kepada dasar untuk jangka sederhana yang menumpukan kepada daya tahan geoekonomi, penjajaran semula rantaian bekalan dan transformasi digital.
“Aspek penting dalam RMK13 adalah penekanan terhadap kecerdasan buatan, yang menguatkan lagi pandangan positif kami mengenai penilaian semula sektor teknologi yang sewajarnya telah lama dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.
Data terkini dalam negara menunjukkan kemungkinan kepada pemulihan, kata Mohd Sedek sambil menekankan mengenai peningkatan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia bagi bulan ketiga berturut-turut daripada 49.3 pada Jun kepada 49.7 pada Julai.
“Walaupun indeks ini kekal rendah sedikit daripada ambang pengembangan, peningkatan berterusan ini menunjukkan kestabilan yang berterusan dalam sektor pembuatan,” katanya.
Selain itu, ekuiti Malaysia masih terkurang nilai berbanding bursa serantau memandangkan pelabur mengalihkan tumpuan mereka kepada data perdagangan China untuk Julai yang dijadual diumumkan Khamis depan.
“Oleh itu, kami kekal optimis namun berhati-hati bahawa pelabur asing akan kembali sebagai pembeli bersih,” katanya.
Pada asas mingguan, indeks petunjuk pasaran susut 0.41 mata kepada 1,533.35 pada Jumaat daripada 1,533.76 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas meningkat 18.51 mata kepada 11,525.33, Indeks FBMT 100 naik 15.91 mata kepada 11,285.63, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 11.78 mata kepada 11,540.76.
Indeks FBM 70 menokok 106.305 mata kepada 16,607.57 manakala Indeks FBM ACE rendah 14.65 mata kepada 4,624.37.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 25.97 mata kepada 17,480.2, Indeks Tenaga meningkat 9.75 mata kepada 749.60 manakala Indeks Perladangan susut 63.82 mata kepada 7,370.97.
Jumlah dagangan mingguan naik kepada 15.94 bilion unit bernilai RM11.88 bilion daripada 11.92 bilion unit bernilai RM11.43 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 8.33 bilion unit bernilai RM10.46 bilion berbanding 6.63 bilion unit bernilai RM9.70 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 5.50 bilion unit bernilai RM859.03 juta daripada 7.10 bilion unit bernilai RM1.15 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.10 bilion unit bernilai RM561.51 juta berbanding 1.68 bilion unit bernilai RM577.05 juta minggu lepas.- BERNAMA