KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Selepas hampir tiga bulan rundingan kompleks, Malaysia akhirnya berjaya meyakinkan Amerika Syarikat (AS) untuk menurunkan kadar tarif balas terhadap eksport negara daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.
Ini sekali gus membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai.
“Syukur, rundingan yang bermula sejak 6 Mei lalu akhirnya membuahkan hasil positif. Penurunan tarif ini dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan negara, malah membolehkan kita terus melaksanakan dasar-dasar penting untuk pertumbuhan sosio-ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Tambahnya lagi, langkah itu dijangka memberi kelegaan kepada banyak syarikat Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang terkesan dengan kadar tarif sebelum ini.
“Kami di MITI akan terus bekerjasama dengan agensi lain bagi meminimumkan kesan tarif dan dalam masa sama, meneroka peluang baharu untuk syarikat Malaysia,” katanya lagi.
Zafrul menegaskan Malaysia akan terus memacu potensi globalnya menerusi dasar dagangan yang progresif dan strategik.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan ini," katanya.
Terdahulu, White House mengesahkan pengurangan kadar tarif ke atas Malaysia kepada 19 peratus selepas Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang menyemak semula kadar tarif balas terhadap beberapa negara.
Perubahan kadar itu akan mula berkuat kuasa secara rasmi pada 7 Ogos ini.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada semakan semula dasar perdagangan AS yang memperakui kepentingan hubungan dagang dengan rakan serantau strategik termasuk Malaysia.