KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Penekanan terhadap pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dilihat mampu melonjakkan sumbangan sektor itu kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, setiap satu peratus peningkatan penggunaan digital dijangka menyumbang sebanyak 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sebagai contoh, automasi berasaskan AI dalam sektor semikonduktor mampu mengurangkan kos sehingga 20 peratus. Di Singapura, peningkatan automasi dalam sektor elektronik menyumbang lima peratus kepada KDNK negara itu,” katanya kepada RTM.
Beliau turut menyifatkan sasaran pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun sepanjang tempoh RMK13 sebagai munasabah, namun tertakluk kepada kestabilan global.
Katanya, berdasarkan model ekonomi Mundell-Fleming, tarif yang dikenakan Amerika Syarikat boleh memberi kesan kepada eksport dan menjejaskan pertumbuhan ASEAN sehingga 0.5 peratus, bergantung kepada perubahan data semasa.
Mengulas pelaburan berjumlah RM611 bilion yang diperlukan sepanjang pelaksanaan RMK13, beliau menyifatkannya sebagai sasaran yang mencabar namun realistik, berdasarkan kesan pengganda fiskal.
Jelasnya, pelaburan dan penggunaan swasta perlu dijadikan teras utama untuk mendorong pertumbuhan ekonomi negara.
"Kerjasama awam-swasta bukan perkara baharu. Jika ditadbir dengan tatakelola yang baik, ia mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan mengoptimumkan penyertaan modal swasta," katanya lagi.
Beliau turut menyokong pendekatan pembiayaan bercampur dalam RMK13 yang dilihat mampu mengimbangi pertumbuhan dan penstabilan hutang awam, termasuk pelaksanaan penswastaan dan penggunaan modal teroka bernilai RM1 bilion.
Langkah itu dijangka dapat mengurangkan beban hutang negara yang kini melebihi RM1 trilion.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pelaksanaan projek infrastruktur di bawah RMK13 perlu dibuat secara teliti dengan memberi keutamaan kepada projek yang menjanjikan pulangan ekonomi jelas, bagi mengelakkan pembaziran dan ketidakcekapan sumber.