SHAH ALAM, 21 Mac- Langkah kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu bagi syarikat mikro adalah wajar, mengambil kira beberapa faktor.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar, syarikat terbabit mempunyai pendapatan kecil dan berdepan kekangan membayar gaji pekerja, khususnya dalam fasa pemulihan.
"Usahawan mikro ini mereka berniaga secara kecil-kecilan, mungkin dia ambil pembantu terdiri daripada orang kampung atau jiran dan bayar sekadar mampu, tetapi jika usahawan mikro dikehendaki membayar gaji minimum RM1500 kepada pekerja mereka, adakah mereka mampu, pendapatan mereka juga sekadar cukup makan sahaja," katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia kepada Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar (AIM).
(Tan Sri Noh Omar ketika Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia kepada Sahabat Usahawan AIM)
Pada majlis tersebut, 2,356 Sahabat Usahawan AIM Wilayah Selangor dan Kuala Lumpur menerima geran khas RM3,000 setiap seorang dengan nilai keseluruhan berjumlah lebih RM7 juta.
Sebahagian besar penerima merupakan usahawan informal, terdiri daripada peniaga gerai dan penjaja yang mengalami kerugian akibat bencana banjir.