KUALA LUMPUR, 23 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar syarikat-syarikat pelaburan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) terus memperkukuh daya saing ekonomi domestik, terutamanya dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Beliau menyuarakan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB pagi tadi yang antara lain meneliti prestasi semasa syarikat-syarikat di bawah yayasan tersebut.
Dalam mesyuarat berkenaan, Datuk Seri Anwar turut menekankan kepentingan menjamin pulangan mampan kepada para pemegang unit amanah, di samping menyeru agensi-agensi berkaitan agar kekal memainkan peranan sebagai pemacu utama pembangunan Bumiputera, selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35) yang telah dilancarkan sebelum ini.
“Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) perlu menggandakan usaha untuk meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya Bumiputera.
“Usaha ini penting bagi memastikan lebih ramai Bumiputera mampu membuat keputusan kewangan yang bijak dan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pelaburan yang memberi pulangan jangka panjang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) agar kekal komited memperkasa usahawan Bumiputera melalui penyediaan akses kepada pembiayaan serta sokongan dalam aspek peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan.
Beliau menegaskan semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan yang memegang mandat pembangunan Bumiputera perlu kekal sebagai pelaksana utama dasar dan inisiatif kerajaan bagi memperkukuh kedudukan ekonomi golongan tersebut.
“Pendekatan bersepadu antara agensi pelaburan dan keusahawanan Bumiputera amat penting bagi memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dapat diterjemahkan dalam bentuk hasil yang mampan dan menyeluruh,” ujar beliau.