KUALA LUMPUR, 24 Disember - Kerajaan bersetuju melaksanakan semakan semula kadar purata tarif kemudahan gas bawah Tempoh Kawal Selia Ketiga (Regulatory Period 3 – RP3) bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028 di Semenanjung Malaysia.
Kenyataan Suruhanjaya Tenaga menyebut, perubahan purata tarif kemudahan gas ini tidak memberikan impak ketara terhadap bil pengguna akhir kerana komponen tarif ini pada asasnya bersifat tetap bagi menampung kos infrastruktur serta keselamatan rangkaian sahaja.
Selain itu, kos penggunaan kemudahan gas ini merangkumi sebahagian kecil daripada struktur harga jualan gas dan tertakluk kepada rangka kerja kawal selia yang ketat, menjadikan kesan keseluruhan kepada pengguna akhir adalah minimum.
"Penetapan tarif kemudahan gas baharu dijangka dapat diimbangi oleh penurunan kos molekul gas yang berlaku ketika ini.
"Sehubungan itu, pengguna dalam segmen penghantaran dan pengagihan gas dijangka menikmati pengurangan kos gas secara keseluruhan dengan purata penurunan bil dianggarkan antara 1.97 peratus hingga 3.75 peratus bermula suku pertama 2026," menurut kenyataan itu.