KUALA LUMPUR, 24 Disember - Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menyasarkan jualan tahunan kenderaan (TIV) mencecah 100,000 unit pada tahun hadapan, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, sasaran itu sejajar trend penggunaan EV yang semakin mendapat sambutan, selari dengan usaha memperkukuh tadbir urus, tanggungjawab sosial serta perlindungan alam sekitar (ESG).
"Berdasarkan trend semasa, pada bulan Disember ini terdapat peningkatan tempahan kenderaan elektrik apabila pengguna mahu memanfaatkan pengecualian duti import dan duti eksais untuk kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) sebelum hujung tahun ini.
"Bagaimanapun, pada tahun hadapan, mungkin ada pengguna yang mengambil pendekatan menunggu pada bulan pertama dan kedua bagi melihat perkembangan pasaran. Namun, saya yakin penggunaan kenderaan elektrik akan terus meningkat, didorong oleh faktor kelestarian alam sekitar serta kos penyelenggaraan yang lebih rendah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas Program Kembali ke Sekolah 2026 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan EV tempatan, beliau berkata penerimaan pengguna terhadap EV keluaran tempatan adalah amat menggalakkan, didorong oleh tawaran harga yang berpatutan serta mampu milik.
Program Kembali ke Sekolah 2026 dilaksanakan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga menjelang sesi persekolahan baharu menerusi penyaluran bantuan kelengkapan persekolahan kepada pelajar yang memerlukan.
Menurut PEKEMA, program berkenaan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026 dengan sasaran 10,000 pelajar di seluruh Semenanjung akan menerima manfaat.