fb fb fb fb fb

Petronas meterai SPA LNG 1 juta tan setahun dengan CNOOC

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 24 Disember — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperkukuh hubungan strategik dengan CNOOC Gas and Power Singapore Trading & Marketing Pte Ltd melalui perjanjian jual beli (SPA) 1 juta tan setahun (MTPA) gas asli cecair (LNG) sejajar usaha kedua-dua syarikat dalam menyokong agenda tenaga bersih dan pertumbuhan ekonomi China.

Perjanjian itu, yang dimeterai menerusi anak syarikat Petronas, Petronas LNG Ltd, dibina berasaskan hubungan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak dan menandakan tahap komitmen yang lebih tinggi terhadap keselamatan tenaga dan masa depan karbon rendah.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas, Shamsairi M Ibrahim, berkata langkah itu juga memperkukuh pembekalan LNG serta menyokong aspirasi Dwi Karbon China, selaras dengan peningkatan permintaan Asia terhadap bahan api rendah karbon.

“Perjanjian ini membawa hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak ke tahap lebih tinggi dan memperkukuh komitmen bersama kami terhadap keselamatan tenaga dan masa depan karbon yang lebih rendah. Petronas kekal komited untuk menyediakan penyelesaian LNG yang andal dan bersih, seterusnya bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memajukan matlamat peralihan tenaga bersama,” kata Shamsairi.

Beliau menegaskan, Petronas akan terus membekalkan LNG daripada portfolio sedia ada bagi menyokong keperluan tenaga pelanggan yang semakin berkembang di seluruh rantau Asia.

Langkah strategik ini dijangka meningkatkan lagi peranan Petronas sebagai pembekal tenaga rendah karbon utama, sambil memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri tenaga global.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD