fb fb fb fb fb

Semakan SST sejajar trend global, kukuh fiskal negara – CTIM

Semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah langkah pragmatik dan sejajar dengan trend global, menurut Institut Percukaian Malaysia (CTIM) / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah langkah pragmatik dan sejajar dengan trend global, menurut Institut Percukaian Malaysia (CTIM).

Presiden CTIM, Soh Lian Seng berkata peluasan asas cukai melalui kemasukan lebih banyak sektor dalam rejim SST mencerminkan perkembangan berterusan ekonomi berasaskan perkhidmatan di negara ini.

“Penggunaan cukai tidak langsung untuk meningkatkan hasil kerajaan adalah langkah yang tepat pada masanya dan strategik. Ia tidak memerlukan pelaksanaan cukai langsung tambahan atau pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, langkah semakan dan peluasan SST bertujuan memperkukuh kedudukan fiskal negara, demi menyokong kesejahteraan rakyat dengan lebih efektif. Ia juga bertujuan menjadikan SST sebagai sistem percukaian yang lebih progresif dan bersasar.

Menurut Soh, pewartaan berkaitan langkah semakan itu kelak bakal memberi kejelasan kepada komuniti perniagaan, serta membantu mereka memahami dan mematuhi keperluan baharu yang ditetapkan.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar, CTIM mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan saluran sokongan khusus seperti talian hotline, e-mel atau perbualan langsung yang dikendalikan pegawai berpengetahuan, agar maklum balas dapat diberikan tepat pada masanya dan risiko ketidakpatuhan dapat diminimumkan,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, CTIM akan turut mengemukakan cadangan penambahbaikan yang sesuai kepada kerajaan serta menggalakkan kesinambungan libat urus dan sokongan praktikal bagi membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN