KUALA LUMPUR, 25 Julai- Sapura Energy Bhd (SEB) memperoleh dua kontrak daripada pelanggan jangka panjangnya di Thailand, dengan nilai keseluruhan melebihi RM500 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Muhammad Zamri Jusoh berkata penganugerahan kontrak itu memperkukuh lagi hubungan jangka panjang antara SEB dan pelanggan di Thailand, berdasarkan rekod prestasi kumpulan dalam melaksanakan kempen luar pesisir yang serupa di negara itu.
“Ia juga mencerminkan strategi kami dalam membida projek yang sejajar dengan minat risiko kumpulan, keupayaan teras, serta kecekapan pengoperasian kapal.
'Kontrak-kontrak tersebut yang dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Sapura Energy (Thailand) Ltd (SETH), melibatkan kempen pemasangan dan penyingkiran, serta perkhidmatan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan (IRM) bawah laut,'' kata Muhammad Zamri dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kontrak pemasangan dan penyingkiran yang dianugerahkan oleh Chevron Thailand Exploration and Production Ltd dan Chevron Offshore (Thailand) Ltd dijangka siap menjelang akhir tahun 2026.
Sementara itu, pesanan perkhidmatan untuk kerja-kerja IRM bawah laut dianugerahkan oleh PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) melibatkan blok petroleum luar pesisir di Teluk Thailand.