KUALA LUMPUR, 25 Julai- Kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 merupakan peluang terbaik bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menyusun semula strategi perniagaan secara menyeluruh.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata inisiatif itu wajar dimanfaatkan untuk mempercepat pelaksanaan automasi, mempertingkat tahap produktiviti dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh kos rendah.
“Kalau kita tidak berubah sekarang kita akan terus ketinggalan dan isyaratnya cukup jelas, kerana kita tidak boleh lagi bergantung kepada buruh murah. Jadi, kita perlu percepatkan dan kalau tidak sekarang bila lagi?
''Cuma kita berharap kerajaan akan terus menyokong automasi dan pendigitalan dalam kalangan PMKS. Contohnya, melalui geran padanan dan juga program bimbingan supaya PMKS dapat dibantu," kata Datuk William ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, beliau turut menyambut baik pelbagai inisiatif tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan e-tunai RM100 yang diumumkan kerajaan, kerana ia mampu meningkatkan kuasa beli rakyat secara langsung.
“Ia membuka peluang kepada PMKS, terutama dalam sektor runcit dan perkhidmatan, untuk tingkatkan jualan.
Namun, kesan itu mungkin bersifat sementara, maka PMKS perlu bertindak pantas dan mencipta nilai tambah yang kekal, lebih-lebih lagi dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global,” jelasnya.