fb fb fb fb fb

RUU E-Dagang bakal dibentang suku pertama 2026

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh (empat, kiri) pada Majlis Pembukaan ASEAN E-Commerce Conference di Kuala Lumpur/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 November – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang dijangka dibentangkan pada suku pertama 2026, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh.

Beliau berkata RUU berkenaan merangkumi pelbagai aspek penting termasuk definisi moden e-dagang, akauntabiliti platform, pengukuhan hak pengguna, mekanisme penyelarasan antara agensi, peraturan berkaitan perdagangan berasaskan AI, serta pendekatan baharu terhadap urus niaga rentas sempadan.

2411 BZ FUZIAH RUU E DAGANG 2Datuk Dr. Fuziah Salleh/BERNAMA

“Reformasi ini meliputi definisi moden e-dagang, akauntabiliti platform, hak pengguna yang diperkukuh, mekanisme antara agensi yang lebih tersusun, peraturan berkaitan perdagangan berasaskan AI serta pendekatan baharu terhadap urus niaga rentas sempadan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Persidangan E-Dagang ASEAN 2025, di sini hari ini.

Tambah beliau, pindaan RUU itu digubal untuk menyokong inovasi dalam sektor digital sambil memastikan keadilan dan kepercayaan pengguna terus terpelihara.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan RUU tersebut menumpukan kepada keperluan mekanisme kawal selia bagi memastikan platform e-dagang luar negara mematuhi undang-undang Malaysia.

RUU berkenaan juga dirangka untuk meningkatkan perlindungan pengguna serta menyokong pertumbuhan berterusan sektor e-dagang tempatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN