fb fb fb fb fb

RMK13 peluang besar untuk PMKS, pelaksanaan perlu teliti dan inklusif

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia disifatkan sebagai progresif dan berwawasan, khususnya dalam memberi tumpuan kepada penciptaan nilai, transformasi digital dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

Presidennya, Datuk William Ng menerusi satu kenyataan berkata, tumpuan kepada industri berimpak tinggi, kecerdasan buatan (AI) dan penjenamaan produk “Made by Malaysia” adalah langkah tepat yang mampu mengangkat daya saing negara.

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang membentuk lebih 97 peratus perniagaan negara, dilihat berpeluang untuk naik ke rantaian nilai menerusi pelaburan dalam penyelidikan dan inovasi , pemerkasaan TVET dan penglibatan dalam sektor strategik seperti halal dan logistik.

“SAMENTA amat menghargai pengiktirafan kerajaan terhadap PMKS sebagai tonggak utama pembangunan negara. Seruan supaya PMKS tidak lagi sekadar pembekal, tetapi menjadi pencipta dan pemain global amat selari dengan aspirasi kami,” katanya.

Bagaimanapun, agar manfaat ini dapat dikecapi sepenuhnya, PMKS memerlukan sokongan yang kukuh termasuk akses pembiayaan, latihan dan pasaran, terutamanya menerusi kerjasama sektor awam-swasta dan amalan perolehan yang lebih inklusif.

Persatuan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan serentak beberapa pembaharuan dasar buruh seperti kenaikan gaji minimum, peraturan pekerja asing dan sistem levi baharu yang boleh membebankan PMKS, khususnya perusahaan kecil dan mikro.

Persatuan juga menggesa agar reformasi buruh dilaksanakan secara berperingkat dengan libat urus semua pihak, sambil menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan menjayakan RMK13 demi ekonomi yang berdaya tahan dan peluang pekerjaan berkualiti.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI