KUALA LUMPUR, 31 Julai - Pharmaniaga Bhd menyelesaikan dua pencapaian penting dalam pelan regularisasinya iaitu terbitan hak dan tawaran saham persendirian.
Langkah itu sekali gus meletakkan kumpulan itu di landasan kukuh untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17), menjelang suku pertama 2026.
''Sejumlah 3.46 bilion saham hak boleh dilepaskan dilanggan sepenuhnya dengan kadar lebihan langganan sebanyak 26.14 peratus, sekali gus mencerminkan sokongan dan keyakinan kukuh daripada para pemegang saham sedia ada.
“Sementara itu, pelaksanaan tawaran saham persendirian menarik minat 19 pelabur baharu yang melibatkan 1.67 bilion saham penempatan dengan jumlah nilai sebanyak RM223.7 juta.
“Walaupun terdapat suntikan ekuiti baharu ini, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd kekal sebagai pemegang saham utama kumpulan dengan pegangan keseluruhan sebanyak 43.9 peratus,” katanya.
Syarikat farmaseutikal itu berkata, setiap entiti memegang kepentingan ekuiti masing-masing sebanyak 8.7 peratus dan 35.2 peratus.
Pharmaniaga juga kekal sebagai syarikat berkaitan kerajaan dengan penekanan berterusan terhadap kepentingan negara dan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia.
''Setelah kedua-dua aktiviti pengumpulan dana itu selesai, Pharmaniaga bersedia menyempurnakan fasa terakhir pelan regularisasi iaitu pelaksanaan pengurangan modal yang disasarkan untuk disiapkan menjelang pertengahan Ogos 2025,” katanya.