fb fb fb fb fb

Pengurangan tarif dicapai tanpa jejas kedaulatan Malaysia

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan pengurangan tarif itu sebagai bukti hubungan ekonomi kukuh kedua-dua negara. -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyambut baik keputusan Amerika Syarikat untuk mengurangkan tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dimuktamadkan hasil rundingan dua hala Kuala Lumpur-Washington yang berlangsung sejak 6 Mei hingga semalam.

Kadar baharu tersebut dilihat sejajar dengan negara serantau Asia Tenggara, dan dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan Malaysia dalam menggubal dasar-dasar ekonomi utama negara.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan menyifatkan pengurangan tarif ini sebagai bukti hubungan ekonomi kukuh antara kedua-dua negara serta kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai.

MITI katanya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengurangkan kesan tarif terhadap eksport negara, menggalakkan penggunaan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) oleh pengeksport.

Selain meneruskan agenda reformasi industri melalui dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Negara dan menyokong syarikat tempatan, khususnya PKS, dalam menyesuaikan diri dengan kadar tarif baharu.

MITI juga menjangka momentum pelaburan kekal positif, disokong projek infrastruktur dan kadar realisasi pelaburan yang tinggi melebihi 85 peratus.

Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agensi kerajaan, AMCHAM, US-ASEAN Business Council dan wakil industri atas sumbangan mereka dalam rundingan ini.

Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia bernilai RM198.65 bilion, serta sumber pelaburan asing terbesar dengan nilai RM32.82 bilion pada 2024.

MITI akan terus mengadakan sesi libat urus mengenai pelaksanaan tarif baharu ini dalam masa terdekat.

JALALUDDIN BIN BAHARIN