KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Usaha kerajaan menyediakan pelbagai geran dan fasiliti untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (IKS), membuka jalan kepada ramai usahawan tempatan melangkah ke peringkat lebih tinggi, termasuk ke pasaran nasional.
Pengerusi Persatuan Usahawan IKS Gemilang Selangor, Fatimah Hamid berkata, pihaknya telah hampir 15 tahun membimbing usahawan kecil daripada peringkat rumah sehingga mampu memiliki kilang sendiri.
“Saya bangga melihat ramai usahawan yang bermula daripada dapur rumah tanpa peralatan lengkap, kini mampu menghasilkan produk sendiri dan memasuki pasaran yang lebih besar.
"Malah, ada dalam kalangan mereka telah menjadi jutawan,” katanya ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Menurut Fatimah, persatuan kini menumpukan kepada kira-kira 14 hingga 15 usahawan yang benar-benar serius dalam perniagaan. Majoriti daripada mereka telah menerima bantuan geran kerajaan termasuk di bawah inisiatif MADANI, yang membantu memperluas kapasiti pengeluaran tanpa bayaran balik.
"Antara kriteria utama untuk menyertai persatuan adalah memiliki Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), akaun bank perniagaan, dan bagi bidang makanan & minuman, sijil pengendalian makanan," katanya.
Beliau menekankan bahawa walaupun berniaga kecil-kecilan seperti menjual pisang goreng, asas ini penting untuk membolehkan perniagaan bergerak ke hadapan.
Sementara itu, seorang usahawan yang berjaya di bawah bimbingan persatuan, Shafalizawati Zainal (pengasas jenama Irfanlicious), berkongsi kisah perjalanannya daripada memasak sambal di rumah pada 2016 hingga kini mengusahakan kilang sendiri.
“Dulu saya buat semuanya sendiri daripada kopek bawang hingga masak sambal. Sekarang alhamdulillah, dah ada pekerja dan mesin 'retort' sendiri. Produk kami boleh bertahan sehingga dua tahun tanpa pengawet atau pewarna,” katanya.
Shafalizawati menekankan bahawa rangkaian sosial dan penyertaan dalam persatuan aktif adalah kunci untuk mengetahui peluang geran dan pameran yang disediakan kerajaan.
“Ramai usahawan tidak tahu kerajaan sediakan pelbagai bantuan. Bila kita sertai persatuan yang aktif, kita akan lebih mudah dapat maklumat dan peluang untuk kembangkan perniagaan,” tambahnya.
Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan dan inisiatif persatuan usahawan yang aktif, industri kecil kini bukan sahaja mampu berdiri sendiri, malah semakin hampir menembusi pentas nasional dan antarabangsa.