KUALA LUMPUR, 26 Julai - Peruntukan tambahan RM2 bilion bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka memberikan suntikan segera kepada perbelanjaan isi rumah, terutamanya dalam kalangan golongan B40, sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Bank Islam Berhad dalam laporan penyelidikannya menyatakan, suntikan tersebut berpotensi menjana perbelanjaan langsung antara RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion yang menyumbang terus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun, kesan ketara dijangka mula dilihat mulai September memandangkan penyaluran bantuan dijadualkan bermula pada 31 Ogos.
“Langkah intervensi ini bersifat strategik ketika data semasa menunjukkan pertumbuhan jualan pengedaran runcit yang perlahan.
"Bantuan tunai dijangka memacu semula trend perbelanjaan pengguna dan memberi kesan berganda kepada sektor perniagaan,” jelas bank itu dalam nota penyelidikannya.
Tambahnya, inisiatif kerajaan untuk menangani kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah diyakini mampu menyokong permintaan domestik dalam jangka masa pendek dan sederhana.
Sementara itu, Bank Islam menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dikekalkan pada paras 2.75% hingga akhir tahun ini, bergantung kepada kestabilan penggunaan swasta dan hasil rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat.