fb fb fb fb fb

PropNex sasar komisen RM20 juta dalam dua hari property XPO 2025

Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Malaysia, Marcus Teng

KUALA LUMPUR, 26 Julai -Syarikat agensi hartanah, PropNex Malaysia menyasarkan untuk meraih komisen jualan sebanyak RM20 juta dalam tempoh dua hari penganjuran Property XPO 2025 Edisi Kedua.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Marcus Teng berkata, sasaran itu mampu dicapai melalui kira-kira 100 tempahan hartanah yang meliputi unit kediaman, komersial dan industri dengan jumlah nilai jualan kasar mencecah RM80 juta.

“Komisen jualan yang disasarkan pada RM20 juta, tapi ini bukan jualan keseluruhan, sebaliknya jumlah pendapatan komisen kami berdasarkan anggaran harga purata RM800,000 seunit.

"Pengunjung yang dijemput bukan daripada orang awam, sebaliknya pelanggan yang sudah sedia ada yang mungkin menunggu masa untuk membuat keputusan membeli hartanah," katanya selepas pelancaran acara tersebut.

Menurut beliau, keyakinan untuk mencapai sasaran tersebut dipacu dengan kehadiran pelanggan yang berurusan dengan ejen syarikat sejak awal, di samping pelaksanaan program pendidikannya, Sistem Kekayaan Hartanah (PWS) yang menyediakan maklumat menyeluruh kepada orang ramai mengenai strategi pelaburan dan pasaran hartanah semasa.

Dalam acara sama, PropNex Malaysia turut disenaraikan dalam ASEAN Records sebagai penganjur pameran hartanah pelbagai sektor terbesar di bawah satu agensi di rantau ini.

Rekod itu diperoleh hasil gabungan 6,440 penyenaraian hartanah yang disahkan, merangkumi segmen kediaman, komersial dan perindustrian, melalui platform fizikal dan digital.

TETITIA YUSOFF