KUALA LUMPUR, 27 Julai - Pengeluar kasut tempatan disaran untuk lebih proaktif dengan mengambil peluang mengembangkan jenama ke peringkat antarabangsa.
Ahli Majlis Kebangsaan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Howard Lee Chuan How berkata, ia merupakan medium terbaik kepada pemain industri tempatan untuk mengisi kekosongan dalam rantaian pasaran global.
"Dalam ketegangan hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China kini, kita dapat lihat wujud satu jendela peluang yang besar.
''Banyak syarikat dari China dan negara lain sedang mencari lokasi baharu yang lebih sesuai, dengan kadar tarif yang lebih rendah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Reka Bentuk Kasut Antarabangsa (IFDC) dan Pertandingan Reka Bentuk Kasut Malaysia (MyFDC) yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Tambahnya, Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan pemain industri tempatan termasuk bakat dan kreativiti untuk menjadi peneraju dalam industri global.
"Malaysia harus memainkan peranan sebagai pemacu perubahan dan kita bukan sekadar mahu pelaburan dan produk dari luar masuk ke negara kita, tetapi mesti memastikan anak tempatan, khususnya dalam bidang reka bentuk dan teknologi, menjadi pemimpin utama dalam transformasi industri," katanya lagi.
Pertandingan MyFDC dianjurkan Persatuan Pengilang Kasut Malaysia sebagai platform dalam mencungkil bakat pereka tempatan, selain memberi pendedahan industri dan peluang kerjaya di dalam dan luar negara.
Menerusi pertandingan itu, pereka terbaik telah dipilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Reka Bentuk Kasut Antarabangsa (IFDC) di Guangzhou, China, yang berlangsung pada Mei lalu.
Pasukan Malaysia membanggakan apabila berjaya membawa pulang 14 anugerah antarabangsa yang majoritinya dimenangi pelajar vokasional.
Ini termasuk menyapu bersih kategori Anugerah Kreatif Keseluruhan, menerusi kemenangan pingat Emas, Perak dan Gangsa.
Ia sekali gus membuktikan bahawa pelajar didikan TVET mempunyai potensi besar, dengan keupayaan menghasilkan produk berkualiti tinggi serta daya cipta luar biasa, terutama dari aspek rekaan dan inovasi.