fb fb fb fb fb

CREST, HRD Corp memeterai MoU bangun bakat elektrikal dan elektronik

Foto Facebook HRD Corp

KUALA LUMPUR, 27 Julai - Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) dan HRD Corp memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan bakat dalam industri Elektrikal dan Elektronik (E&E), dengan keutamaan diberikan kepada sektor semikonduktor yang kian berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif CREST Jaffri Ibrahim berkata, menerusi Program Engineering Talent for Semiconductor Industry (ETSI) ia menyasarkan kemahiran 15,000 pelajar pengajian tinggi, graduan, pekerja dan penyelidik.

''Menerusi ETSI, kami memperkasakan pelajar, jurutera dan penyelidik dengan kemahiran masa depan serta akses kepada infrastruktur bertaraf dunia menerusi program pembangunan bakat dan CoE Semikonduktor kami,'' menurut Jaffri.

Sementara itu Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan menegaskan kerjasama itu selaras dengan matlamat utama Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan secara khususnya NSS, yang menyasarkan pembangunan bakat yang bersedia untuk industri.

"Kami komited untuk terus memperkasa keupayaan industri semikonduktor negara melalui inisiatif strategik dan kerjasama berterusan bersama CREST.

"Kami menetapkan sasaran tinggi untuk meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera menjelang 2030, yang memerlukan koordinasi, kejelasan dan komitmen kepada rangka kerja pelaksanaan yang kukuh," katanya.

MoU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan bersempena dengan ulang tahun pertama NSS pada Persidangan Semikonduktor ASEAN 2025 di ibu negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI