KUALA LUMPUR, 27 Julai - Malaysia kini dilihat berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jangka sederhana yang digariskan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI menjelang 2030.
Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC), Lee Heng Guie, pencapaian semasa menunjukkan kemajuan positif dalam beberapa indikator penting, termasuk daya saing global, penyertaan tenaga kerja wanita serta usaha mengurangkan defisit fiskal negara.
“Kalau kita lihat dua tahun kebelakangan ini, perancangan strategik sudah pun dilancarkan. Malaysia berada di laluan yang betul, cuma pelaksanaan dasar itu perlu konsisten,” katanya dalam satu temu bual bersempena ulang tahun pelancaran kerangka tersebut.
Beliau berkata, kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Global meningkat daripada tangga ke-27 pada 2022 kepada tangga ke-23 pada tahun 2024, manakala kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja telah mencecah 56.5 peratus menghampiri sasaran 60 peratus.
Kerajaan juga berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 dan menyasarkan untuk menurunkannya ke bawah tiga peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa beberapa cabaran utama masih perlu diatasi, khususnya dalam aspek ketelusan, pembangunan modal insan dan daya saing serantau.
Malaysia disaran memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pembangunan kemahiran baharu, termasuk teknologi seperti kecerdasan buatan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan bersifat sementara.
Dalam konteks pelaburan, kestabilan politik dan komunikasi dasar yang konsisten dilihat sebagai kunci mengekalkan keyakinan pelabur dan Malaysia perlu memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar dan bersifat fleksibel agar kekal kompetitif dalam persekitaran serantau yang semakin agresif menarik pelaburan.