fb fb fb fb fb

Peruncit tempatan kekal pembeli bersih bagi minggu ketiga

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Peruncit tempatan meneruskan aktiviti belian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran masuk bersih berjumlah RM105.4 juta bagi minggu berakhir pada 25 Julai 2025.

Sebaliknya, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) pelabur asing meneruskan jualan bersih merangkumi aliran keluar bersih sebanyak RM89.9 juta, lebih rendah berbanding RM206.1 juta minggu sebelumnya.

''Kelompok pelabur asing muncul penjual bersih bagi setiap hari dagangan kecuali Rabu dan Khamis yang merekodkan aliran masuk bersih masing-masing berjumlah RM97.3 juta dan RM22.6 juta.

“Jumlah aliran keluar terbesar dicatatkan pada Jumaat dan seterusnya Isnin dan Selasa iaitu masing-masing RM52.3 juta dan RM21.0 juta,'' kata bank pelaburan itu menerusi laporan Tinjauan Aliran Dana.

Sementara itu, institusi tempatan meneruskan aliran jualan bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak RM15.5 juta, lebih rendah berbanding jumlah pada minggu sebelumnya sebanyak RM33.3 juta.

Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi ialah pengangkutan dan logistik (RM158.7 juta), utiliti (RM69.5 juta) dan pembinaan (RM51.4 juta).

Manakala, perkhidmatan kewangan (RM174.1 juta), teknologi (RM80.8 juta) dan telekomunikasi dan media (RM70.8 juta) merupakan tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih asing tertinggi.

Bank pelaburan itu berkata purata jumlah dagangan harian menunjukkan penurunan secara menyeluruh minggu lalu.

Pelabur asing susut sebanyak 5.5 peratus, peruncit tempatan pada 2.1 peratus, manakala institusi tempatan sebanyak 0.8 peratus.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM