KUALA LUMPUR, 28 Julai - Lima negeri mendominasi eksport Malaysia Jun lalu, menyumbang 84.2 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan RM121.7 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan memaklumkan Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 39.5 peratus, diikuti oleh Johor (18.6%), Selangor (16.9%), Sarawak (5.3%) dan Kuala Lumpur (4.0%).
''Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan nilai eksport sebanyak RM4.9 bilion, disusuli Sabah (RM414.3 juta), Melaka (RM372.0 juta), Kelantan (RM69.5 juta) dan Perlis (RM2.9 juta).
''Bagaimanapun, prestasi eksport secara keseluruhan pada Jun 2025, menurun sebanyak RM4.4 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,'' menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan sama turut memaklumkan import pada bulan tersebut meningkat RM1.4 bilion berbanding bulan sama pada tahun 2024.
''Selangor menguasai import Malaysia dengan menyumbang 24.4 peratus, diikuti oleh Johor (24.3%), Pulau Pinang (23.7%), Kuala Lumpur (8.3%) dan Kedah (5.4%).
''Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi antaranya di Pulau Pinang (RM3.4 bilion), Johor (RM1.5 bilion), Kuala Lumpur (RM890.4 juta), Sabah (RM254.5 juta) dan Perak (RM108.0 juta),'' tambah kenyataan itu.
Namun, nilai import menurun di Negeri Sembilan sebanyak RM1.3 bilion, Kedah (RM980.0 juta), Melaka (RM954.9 juta), Selangor (RM903.4 juta), Pahang (RM753.3 juta), Terengganu (RM246.7 juta), Perlis (RM87.2 juta) dan Sarawak (RM16.9 juta).