fb fb fb fb fb

IHPR susut 4.2% pada Jun 2025

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, susut 4.2 peratus pada Jun 2025, selepas penurunan 3.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, penyusutan tahun ke tahun turut dicatatkan merentasi semua sektor, dengan sektor perlombongan dan pembuatan menjadi penyumbang utama kepada trend negatif keseluruhan indeks.

Sektor perlombongan menurun 8 peratus berbanding 15 peratus pada Mei 2025, dipengaruhi penurunan dalam indeks pengekstrakan gas asli dan pengekstrakan petroleum mentah.

Manakala, sektor pembuatan susut 4.3 peratus daripada penurunan 3 peratus bulan sebelumnya.

Penurunan disumbangkan oleh penurunan ketara dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal.

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan turut mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 0.3 peratus.

Bagi sektor utiliti, kedua-dua sektor bekalan elektrik dan gas serta bekalan air mencatatkan penurunan marginal 0.2 peratus pada Jun 2025.

Sementara itu, perbandingan secara suku tahunan menunjukkan IHPR mencatat penurunan 2.3 peratus, berbanding peningkatan 1.0 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Mengulas harga komoditi terpilih, purata minyak sawit mentah Malaysia pada Jun 2025 berjumlah RM3,969 satu tan, berbanding RM3,880.50 pada Mei 2025.

Aliran peningkatan itu disokong oleh permintaan global yang kukuh, terutamanya dari India dan China, yang membantu mengekalkan harga walaupun bekalan yang mencukupi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM