fb fb fb fb fb

Ringgit terus ditutup tinggi berbanding dolar AS

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 18 April- Ringgit terus ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini sejajar dengan penurunan 0.1 peratus Indeks Dolar AS (DXY) kepada 105.845 mata, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 6.00 petang, ringgit meningkat kepada 4.7840/7870 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7910/7950 pada Rabu.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebimbangan terhadap konflik Asia Barat sedikit sebanyak mula mereda, dinilai daripada penurunan harga minyak mentah Brent kepada AS$86.90 setong.

“Namun begitu, pasaran masih bimbang dengan risiko geopolitik dan juga prospek tidak menentu kadar faedah Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata, tumpuan di pasaran tempatan adalah kepada angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama 2024, yang akan diumumkan esok.

“Kejutan positif pastinya akan membawa impak yang baik kepada ringgit,” kata Mohd Afzanizam.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 5.1050/1082 daripada paras penutup 5.0981/1024 pada Rabu tetapi naik berbanding yen Jepun kepada 3.0980/1002 daripada 3.0990/1018 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9671/9708 daripada 5.9720/9770 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai baht kepada 13.0053/0188 daripada 13.0194/13.0373 pada Rabu dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.37 daripada 8.37/8.39 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 295.6/296.0 daripada 295.3/295.7 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5176/5201 daripada 3.5171/5200. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA