fb fb fb fb fb

Konflik Asia Barat, MATRADE rangka strategi atasi cabaran geopolitik

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 18 April - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang merangka strategi bagi mengatasi cabaran geopolitik agar tidak menjejaskan prestasi perdagangan negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata kesemua 49 pejabat MATRADE di luar negara diarah menjalankan analisis pendedahan risiko geopolitik terutama membabitkan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata, setakat ini, negara terlibat merekodkan sumbangan eksport kurang satu peratus daripada keseluruhan eksport negara.

"Kita sedang mendapatkan maklumat daripada pejabat kita di luar negara, macamana kita punya trend eksport ke negara tersebut dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

"Kita tengok, kalau ada peningkatan, maknanya tidak boleh kita abaikan. Jadi apa yang kita buat ialah, kita guna satu negara atau bandar di rantau ini, contohnya Dubai sebagai hab serta Doha untuk kita mengeksport ke negara-negara yang konflik ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024, di sini.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata antara strategi lain untuk mengurangkan impak risiko geopolitik ke atas perdagangan Malaysia adalah menambah pasaran baharu, terutama dalam kalangan pasaran baharu muncul.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN