KUALA LUMPUR, 25 Mac - Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila data ekonomi AS yang positif telah mengukuhkan mata wang negara maju itu.
Unit tempatan susut kepada 4.4355/4390 berbanding dolar AS daripada 4.4325/4370 ketika ditutup semalam.
Indeks Output PMI Komposit AS oleh S&P Global, yang menjejaki sektor pembuatan dan perkhidmatan, meningkat kepada 53.5 bulan ini daripada 51.6 pada Februari.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat, mencecah 104.454 mata walaupun aset berisiko seperti ekuiti meningkat semula susulan keyakinan bahawa pengenaan tarif AS akan lebih khusus dan bersasar.
“Bagi ringgit, USD/MYR bergerak dalam julat kecil antara RM4.4375 hingga RM4.4450. Tumpuan akan terarah kepada pengukur inflasi pilihan Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Jumaat dan siri penceramah Fed yang akan memberi lebih banyak penjelasan mengenai perkembangan dasar Fed dalam tempoh terdekat, terutama apabila tarif timbal balas diumumkan pada 2 April,” katanya kepada Bernama.
Ringgit didagangkan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding euro kepada 4.7908/7946 daripada 4.8039/8088 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding pound British kepada 5.7351/7396 daripada 5.7441/7499.
Ringgit lebih stabil berbanding yen Jepun kepada 2.9480/9503 daripada 2.9631/9663.
Ringgit juga diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.71 daripada 7.73/7.74, dan lebih kukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0633/0813 daripada 13.0849/1043 semalam.
Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 266.9/267.3 daripada 267.5/267.9 namun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3158/3186 daripada 3.3148/3184. - BERNAMA