fb fb fb fb fb

Ringgit dibuka tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Mac- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, apabila pelabur mendapati kestabilan politik dan dasar Malaysia adalah memberangsangkan dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun.

Hal itu sekali gus meningkatkan daya tarikan mata wang tempatan dalam keadaan sentimen global yang tidak menentu.

Pada 8.00 pagi, ringgit naik kepada 4.4340/4410 berbanding dolar AS daripada 4.4355/4390 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun berdepan cabaran global, ringgit kekal berdaya tahan, meningkat 0.85 peratus setakat ini bagi tahun ini selain disenaraikan sebagai mata wang keempat berprestasi terbaik di Asia.

Menurut data Bloomberg, ringgit Malaysia adalah keempat terbaik dalam kalangan mata wang negara sedang pesat membangun, menyusuli yen Jepun, dolar Singapura dan renminbi China luar pesisir.

Sebaliknya, mata wang negara rakan setara utama Indonesia dan Turki menghadapi penjualan ketara minggu lepas, menjejaskan sentimen merentas kelas aset.

Rupiah Indonesia mengalami tekanan, susut 2.97 peratus setakat ini bagi tahun ini, mendorong Bank Indonesia melakukan operasi ke atas pasaran mata wang untuk membendung penyusutan itu.

“Rupiah susut kepada paras terendah, yang pernah berlaku ketika Krisis Kewangan Asia 1997-1998, menjadikannya mata wang berprestasi paling teruk di rantau ini dan meningkatkan kebimbangan pasaran.

“Walaupun pelabur kekal berhati-hati, keadaan itu secara tidak dijangka telah mendorong minat terhadap aset dalam denominasi ringgit,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata pasangan mata wang dolar AS-ringgit berlegar di sekitar paras rintangan serta merta pada RM4.4463, manakala indikator teknikal mencadangkan ringgit kekal dalam zon neutral, menunjukkan pergerakan terhad dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) mengalami turun naik sekitar 104 mata, kerana data ekonomi terkini menunjukkan pengguna menjadi lebih berhati-hati terhadap prospek ekonomi AS.

Beliau berkata Indeks Keyakinan Pengguna oleh Conference Board merosot kepada 92.9 mata pada Mac, penurunan bulanan keempat berturut-turut.

“Lebih ketara, Indeks Jangkaan turun kepada 65.2 mata, kekal di bawah ambang 80 mata selama dua bulan berturut-turut. Indeks di bawah 80 sering dilihat sebagai isyarat kebarangkalian yang tinggi berlakunya kemelesetan ekonomi AS,” katanya.

Awal dagangan hari ini, ringgit juga diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7838/7914 daripada 4.7908/7946 ketika ditutup semalam namun, rendah berbanding pound British kepada 5.7394/7484 daripada 5.7351/7396.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 2.9572/9620 daripada 2.9480/9503.

Ringgit turut didagangan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3184/3241 daripada 3.3158/3186 semalam, dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1071/1418 daripada 13.0633/0813.

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.71 daripada 7.73/7.74 ketika ditutup semalam, dan hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 266.9/267.4 daripada 266.9/267.3.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN