KUALA LUMPUR, 26 Mac- Permintaan yang meningkat dalam industri minyak dan gas membuka lebih banyak peluang dalam aktiviti huluan, termasuk penerokaan.
Perkembangan positif itu dijangka memberi manfaat kepada syarikat perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan untuk tempoh beberapa bulan akan datang.
Menurut MIDF Amanah Investment Bank Berhad (MIDF) ini termasuk operasi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta penyelenggaraan dalam segmen pertengahan dan hiliran.
MIDF mengunjurkan harga minyak mentah Brent kekal dalam lingkungan AS$70 setong hingga AS$80 setong, mengambil kira risiko pasaran semasa.
Menurut MIDF, industri minyak dan gas huluan negara diramal stabil dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan peningkatan aktiviti di Sarawak dan Sabah.
Pengeluaran minyak negara juga diunjur meningkat kepada 700,000 tong sehari tahun ini.
Bagaimanapun, faktor seperti ketidaktentuan harga minyak serta gangguan rantaian bekalan akibat dasar dan geopolitik, kekal menjadi risiko jangka pendek.