fb fb fb fb fb

AirAsia perkukuh kekerapan penerbangan, jadikan KL hab serantau

Foto Hiasan

SEPANG, 25 Mac – Kumpulan AirAsia berhasrat meningkatkan kekerapan penerbangan tahun ini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau yang setanding dengan Dubai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata syarikat itu mahu mengangkat Kuala Lumpur sebagai pusat penerbangan bertaraf dunia yang sibuk dan strategik.

"Jika anda pernah ke Dubai, anda akan lihat lapangan terbangnya sentiasa sibuk. Kini, ramai warga Indonesia yang ingin menunaikan umrah memilih Kuala Lumpur sebagai tempat transit kerana penerbangan AirAsia X lebih murah dan mudah," katanya pada taklimat media di sini.

Selain itu, AirAsia turut memperkukuh Thailand sebagai hab penerbangan tersendiri dengan sambungan strategik dari Kuala Lumpur dan Bangkok ke destinasi seperti Asia Tengah, India, dan Asia Barat.

AirAsia juga sedang giat meneroka peluang untuk meningkatkan sambungan ke Asia Tengah serta menambah kekerapan penerbangan ke Australia.

Dalam usaha memperkukuh hubungan ASEAN dan domestik, syarikat itu akan memperkenalkan lebih 30 laluan baharu tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di rantau ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN