KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia Airports mengesan ancaman siber yang menjejaskan beberapa sistem komputer di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Mac 2025.
Dalam kenyataan rasmi, Malaysia Airports memaklumkan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), telah dimaklumkan serta-merta mengenai insiden itu.
Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata pihaknya telah mengikuti perkembangan itu secara rapat sejak menerima laporan daripada Malaysia Airports.
“Operasi di KLIA tidak terjejas dan kami akan terus memantau keadaan serta memberikan sokongan kepada Malaysia Airports bagi memastikan keselamatan siber yang berkesan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani menegaskan pihaknya akan memastikan kelancaran operasi lapangan terbang.
“Pasukan teknikal dan operasi sedang memantau keadaan secara aktif serta melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bagi melindungi infrastruktur,” katanya.
Malaysia Airports turut memberi jaminan bahawa sistem keselamatan dan operasi akan terus diperketat bagi memastikan keselamatan pengguna lapangan terbang.