KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Digital mengumumkan peruntukan dana kumulatif sebanyak RM1.5 bilion bagi menyokong inisiatif pendigitalan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata peruntukan tersebut bertujuan membantu PMKS memahami dan memanfaatkan teknologi digital untuk memperkasa perniagaan mereka.
“Memastikan mereka memahami bahawa teknologi digital akan mengubah perniagaan dan memberi lebih kuasa kepada mereka. Kedua, maklumkan bahawa inisiatif ini sudah tersedia, dan usaha sedang dilakukan bagi menjadikannya lebih cekap,” katanya kepada pemberita pada Majlis Inisiatif Pendigitalan Perniagaan di ibu negara.
Dana itu diwujudkan menerusi kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta, melibatkan agensi kerajaan serta pemain industri.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital berteraskan rakyat oleh Kerajaan Madani, bertujuan memperkasa PMKS melalui penyelesaian teknologi inovatif, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi perniagaan.