fb fb fb fb fb

Ringgit diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 6 April - Ringgit dijangka diniagakan sekitar paras 4.69 hingga 4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan berikutan tempoh dagangan singkat susulan cuti umum, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah Brent berlegar melebihi US$90 setong dalam persekitaran kebimbangan terhadap risiko geopolitik di Timur Tengah.

Beliau berkata, pasaran pertukaran asing berada dalam mod defensif dengan permintaan untuk mata wang selamat seperti dolar US semakin meningkat, indeks dolar US meningkat 0.17 peratus kepada 104.30 mata pada Jumaat.

“Walaupun penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai tesis pelaburan yang dipertikaikan, kebimbangan terhadap konflik ketenteraan di Timur Tengah telah mengakibatkan harga minyak mentah menjadi lebih tinggi. Walaupun ini mungkin memberi kesan kepada inflasi, ia berpotensi mengubah pandangan terhadap langkah seterusnya oleh Fed AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata dolar US akan mendapat manfaat daripada keadaan perdagangan tanpa risiko yang didorong oleh kebimbangan geopolitik.

“Melainkan terdapat kejutan ketara dalam pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) pada Jumaat, kemungkinan besar laporan Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar AS yang terkini untuk bulan Mac akan mempengaruhi jangkaan penurunan kadar faedah oleh Fed dan hala tuju dolar US sepanjang baki bulan ini,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit merosot kepada 4.7460/7490 berbanding dolar US 4.7215/7280 seminggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ringgit berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.1341/1363 daripada 3.1194/1241 seminggu sebelumnya, merosot berbanding pound Britain kepada 5.9956/9994 daripada 5.9548/9630 sebelumnya dan jatuh berbanding euro kepada 5.1437/1470 daripad 5.0907/0977.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9495/12.9641 daripada 12.9712/12.9983 pada Jumaat minggu lepas bagaimanapun melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 daripada 8.40/8.42 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan itu menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 299.4/299.8 daripada 297.7/298.2 minggu sebelumnya dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5208/5233 daripada 3.4987/5040. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI