fb fb fb fb fb

Pasaran getah dijangka lengang minggu depan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 6 April - Pasaran getah Malaysia dijangka lengang minggu depan berikutan cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam persekitaran produktiviti yang lebih rendah, kata pakar industri.

Memetik kenyataan oleh Jabatan Meteorologi Thailand, pakar industri Denis Low berkata suhu tinggi boleh mencecah sehingga 45 darjah Celcius bulan ini, pada masa sama ribut juga dijangka berlaku, ia mungkin memberi kesan teruk kepada pengeluaran dan penanaman getah.

Low berkata ia juga boleh menjejaskan kesihatan pokok getah dan membawa kepada keguguran daun, ia akan menyebabkan hasil lateks menjadi lebih rendah.

“Cuti Aidilfitri dan cuti sambutan Songkran di Thailand yang boleh menjejaskan pengeluaran getah untuk beberapa hari minggu depan. Oleh itu, kita akan melihat peningkatan aktiviti stok menjelang kekurangan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Oon Kim Hung berkata pasaran dijangka lengang, pasaran getah dijangka tidak berubah dan trend menurun sedikit.

Sementara itu, seorang pakar lain berkata pasaran akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar US, ditambah dengan penanda aras harga minyak mentah dalam keadaan kekurangan getah asli (NR).

Beliau berkata pengendali pasaran akan terus memantau data China untuk petunjuk pemulihan ekonomi selanjutnya dan langkah-langkah rangsangan China selanjutnya bersama-sama dengan petunjuk seterusnya daripada Amerika Syarikat (AS) mengenai tarikh penurunan kadar faedah.

"Peniaga akan sentiasa memantau perkembangan di Timur Tengah susulan ketegangan geopolitik di sana," katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan ditutup bercampur-campur, menjejaki pergerakan pasaran hadapan getah serantau.

Pada asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat satu sen kepada 761.5 sen sekilogram daripada 760.5 sen pada minggu sebelumnya, manakala lateks pukal merosot 21.5 sen kepada 746.0 sen sekilogram daripada 767.5 sen sebelumnya.

Pada 5 petang Rabu, harga LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 761.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 741.0 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup pada 28 Mac berikutan cuti Nuzul Al-Quran dan pada Jumaat, 29 Mac untuk cuti sambutan Good Friday.- BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI