fb fb fb fb fb

Ringgit dijangka naik minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Ringgit dijangka naik minggu depan berikutan sentimen semakin baik disebabkan keputusan diambil oleh bank-bank pusat utama.

Kenanga Research berkata perubahan dasar yang mungkin dilakukan Bank of Japan (BoJ) dan jangkaan pasaran terhadap kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan data pekerjaan AS yang lemah mungkin menjejaskan kenaikan dolar AS minggu depan.

Ia berkata mesyuarat oleh bank pusat seperti mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), BoJ dan mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia semuanya dijadualkan berlangsung minggu depan.

"Ringgit mungkin mengukuh berbanding dolar US sekiranya sentimen berisiko bertambah baik dengan sokongan segera pada 4.773," katanya dalam nota penyelidikan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beliau menjangka BNM mengekalkan kadar dasar semalaman pada tiga peratus.

“Tumpuan minggu depan adalah pada mesyuarat FOMC dan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia minggu depan,” katanya.

Beliau berkata pasaran akan menumpukan perhatian terhadap penilaian terkini oleh Fed mengenai prospek ekonomi.

"Setakat ini, data suku ketiga menunjukkan ekonomi AS cukup berdaya tahan dengan pertumbuhan dicatatkan pada 4.9 peratus," katanya.

Beliau berkata melihat kepada ekonomi AS, diunjurkan akan berlaku kenaikan 25 mata asas minggu depan.

Selain itu, pasaran juga akan terus berhati-hati memandangkan konflik Israel-Hamas yang berlanjutan.

Justeru, beliau berkata ringgit mungkin mengekalkan julat antara paras 4.77 dan 4.78.

Sementara itu bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar US kepada 4.7750/7800 daripada 4.7655/7700 sebelumnya dalam persekitaran konflik di Timur Tengah dan sentimen berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi AS.

Unit tempatan itu juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain kecuali euro, ia naik kepada 5.0438/0491 daripada 5.0462/0510 minggu sebelumnya.

Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 3.1827/1862 daripada 3.1781/1813 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.7945/8005 daripada 5.7777/7831 sebelumnya.

Prestasi ringgit juga kebanyakannya bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Unit tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 299.5/300.0 daripada 300.1/300.7 minggu sebelumnya dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.39 daripada 8.38/8.40.

Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4867/4906 daripada 3.4731/4767 ketika ditutup pada Jumaat dan menguncup berbanding baht Thai kepada 13.1808/2008 daripada 13.0504/0681.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE