fb fb fb fb fb

Ringgit dijangka kekal dalam jajaran kecil berbanding dolar minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Jun- Ringgit berkemungkinan kekal diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS minggu depan apabila pasaran terus mencerna prospek ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan mata wang tempatan itu akan kekal dalam julat kecil di sekitar 4.7000 selepas meningkat pada awal minggu ini.

Beliau berkata tumpuan pasaran mula beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang, dijadualkan bersidang pada 11 dan 12 Jun.

Beliau menyatakan bahawa isu utama yang mempengaruhi sentimen pasaran ialah sama ada Rizab Persekutuan (Fed) akan mengurangkan kadar faedah atau membiarkannya kekal seperti sedia ada.

"Itu menjadi tumpuan utama memandangkan data ekonomi agak bercampur-campur manakala pegawai Fed memberi isyarat mengenai pendirian agresif mereka terhadap inflasi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS untuk bulan Mei juga dijangka mempengaruhi sentimen pasaran pada minggu akan datang.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.7050/7080 berbanding dolar AS daripada 4.7100/7130 pada minggu sebelumnya.

Bagi minggu urus niaga yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu jatuh berbanding pound Britain kepada 5.9876/9914 daripada 5.9859/9898 seminggu sebelumnya, susut berbanding euro kepada 5.1035/1068 berbanding 5.1000/1032 tetapi naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9901/9922 daripada 2.9996/3.0017.

Ringgit bagaimanapun diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 289.4/289.7 daripada 294.5/294.7 Jumaat lalu dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4803/4828 daripada 3.4876/4901 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.03/8.05 daripada 8.09/8.10 seminggu sebelumnya dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7860/7994 daripada 12.8373/8507.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE