fb fb fb fb fb

Pasaran getah dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Jun- Pasaran getah dijangka terus meningkat minggu depan, terutamanya disebabkan kekangan bekalan yang terhad dan permintaan sektor pembuatan yang bertambah baik menyebabkan lebih banyak bahan mentah diperlukan, kata pakar industri.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Oon Kim Hung berkata bekalan yang terhad disebabkan oleh kekurangan penoreh getah, cuaca panas yang melampau dan huru-hara dalam logistik perkapalan serta konflik yang semakin memburuk di Timur Tengah.

“MARGMA bimbang tentang susu getah pukal yang hanya mengandungi 60 peratus kandungan getah kering (DRC) sahaja, bersama Getah Standard Malaysia (SMR) 20 dan getah Thai.

“Perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS)-China yang sengit dengan sekatan akan datang dan tarif yang melambung tinggi mendorong banyak perniagaan untuk membeli lebih banyak pada masa ini dan untuk bekalan masa depan, menyebabkan kekurangan kontena, kesesakan di pelabuhan dan kelewatan dalam penghantaran,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kenaikan dalam kadar tambang juga merupakan faktor yang memungkinkan harga getah meningkat lagi.

Sementara itu, seorang peniaga berkata pasaran getah tempatan akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar AS dan penanda aras harga minyak mentah di tengah-tengah kebimbangan semasa terhadap bekalan bahan mentah yang terhad di negara pengeluar utama akibat cuaca yang ekstrem.

"Peniaga akan menunggu petunjuk daripada ekonomi-ekonomi utama dan petunjuk seterusnya mengenai prospek kadar faedah AS di tengah-tengah harapan untuk lebih banyak langkah rangsangan di China, sambil memerhatikan dengan teliti konflik geopolitik yang sedang berlaku di Timur Tengah dan perkembangan selanjutnya dalam industri perkapalan," tambahnya.

Pada minggu ini, pasaran getah tempatan diniagakan lebih rendah sejajar dengan aliran menurun dalam pasaran hadapan getah serantau.

Pada Isnin, pasaran getah tempatan ditutup lebih tinggi dengan harga SMR 20 melonjak ke paras tertinggi baharu bagi 2024.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 meningkat 10 sen kepada 832.5 sen sekilogram daripada 822.5 sen sekilogram minggu lepas, manakala susu getah pukal naik 16.5 sen kepada 783 sen sekilogram daripada 766.5 sen sebelumnya.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM untuk SMR 20 berada pada 827 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 784 sen sekilogram.

Pasar getah Kuala Lumpur akan ditutup pada Isnin, 3 Jun, berikutan cuti umum sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan akan beroperasi semula pada hari berikutnya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE