fb fb fb fb fb

FBM KLCI dijangka alami tekanan menurun minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 1 Jun- Bursa Malaysia dijangka mengalami tekanan menurun yang berterusan pada minggu akan datang berikutan pelabur kekal berwaspada, dengan menumpukan kepada sektor defensif dan mengelakkan pelaburan berisiko.

Pencarta Maybank Investment Bank Bhd Nik Ihsan Raja Abdullah berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mungkin bergelut untuk memburu momentum meningkat melainkan terdapat perkembangan positif yang tidak dijangkakan daripada data ekonomi global atau dalam negara.

“Berdasarkan perkembangan pasaran global baru-baru ini, indeks petunjuk pasaran dijangka berdepan minggu yang mencabar. Aliran menurun berterusan yang dilihat pada indeks selain sentimen pasaran yang berhati-hati, memperlihatkan konsolidasi pasaran yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Nik Ihsan berkata, selain itu, prestasi FBM KLCI baru-baru ini yang diperlihatkan menerusi penyusutan enam hari berturut-turut dan dagangan berhati-hati, mencerminkan kebimbangan yang berterusan terhadap hala tuju kadar faedah global dan tekanan inflasi.

Pasaran tempatan tidak mempunyai pemangkin positif baharu, menyebabkan tekanan jualan yang berterusan dan aktiviti pengambilan untung

Sementara itu, data ekonomi seterusnya, termasuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan S&P Global Malaysia akan dipantau rapi.

“Bacaan yang lemah boleh menjejaskan lagi sentimen pasaran. Selain itu, petunjuk ekonomi global, seperti PMI pembuatan Caixin China dan PMI pembuatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) Amerika Syarikat (AS) akan menawarkan konteks tambahan terhadap keputusan pelabur,” katanya.

Pada minggu berkenaan, Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan dagangan berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi utama di AS, iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar negara dan data inflasi, masing-masing pada Khamis dan Jumaat. Pelabur tempatan turut mendapatkan keuntungan sebelum cuti hujung minggu yang panjang.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI berkurangan 22.72 mata kepada 1,596.68 daripada 1,619.40 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 192.31 mata kepada 12,161.52, Indeks FBM 70 berkurangan 310.41 mata kepada 17,481.54 dan Indeks FBMT 100 susut 178.59 mata kepada 11,6.769.

Indeks FBM Emas Syariah menyusut 238.39 mata kepada 12,392.36 dan Indeks FBM ACE berkurangan 154.58 mata kepada 5,389.57.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 162.77 mata kepada 17,526.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.79 mata kepada 194.86, Indeks Tenaga merosot 34.17 mata kepada 967.36 dan Indeks Perladangan berkurangan 230.98 mata kepada 7,071.40.

Bagi minggu yang baru berakhir, jumlah dagangan meningkat kepada 26.03 bilion unit bernilai RM22.25 bilion berbanding 24.18 bilion unit bernilai RM17.85 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 15.21 bilion saham bernilai RM18.61 bilion daripada 15.20 bilion saham bernilai RM15.65 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 5.95 bilion unit bernilai RM837.01 juta berbanding 4.76 bilion unit bernilai RM656.51 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 4.81 bilion saham bernilai RM1.68 bilion berbanding 4.19 bilion saham bernilai RM1.53 bilion sebelum ini.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE