fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM diunjur dalam kecenderungan menurun minggu depan

Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan tekanan jualan dalam keadaan lonjakan harga baru-baru ini / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan tekanan jualan dalam keadaan lonjakan harga baru-baru ini, kata peniaga.

Peniaga minyak sawit, David Ng berkata peningkatan pengeluaran turut memberikan tekanan terhadap sentimen pasaran.

“Kami menjangkakan harga pada minggu depan diniagakan antara RM3,950 satu tan dan RM4,100 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata niaga hadapan MSM dijangka diniagakan antara RM3,700 dan RM3,800 satu tan.

“Terdapat banyak stok di Malaysia dan Indonesia. Oleh itu, lazimnya permintaan fizikal akan datang dari China, India, Pakistan dan negara-negara Timur Tengah manakala pengeluaran akan meningkat bagi Mei dan Jun berikutan cuaca baik,” katanya

Sementara itu, SD Guthrie Bhd iaitu antara pengeluar MSM terkemuka dunia berkata, pada masa depan, harga MSM akan kekal menerima sokongan berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan dan kesan jangkaan cuaca ekstrem di negara pengeluar yang mungkin memberi kesan kepada bekalan minyak sayuran di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Operasinya Mohd Haris Mohd Arshad berkata harga berkenaan akan kekal menggalakkan dan menyasarkan purata melebihi RM4,000 satu tan tahun ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, niaga hadapan MSM diniagakan lebih tinggi terutama disebabkan prestasi eksport minyak sawit yang lebih kukuh.

Berasaskan mingguan, kontrak bulan semerta Jun 2024 meningkat RM197 kepada RM4,069 satu tan, Julai 2024 naik RM197 kepada RM4,076 satu tan, Ogos 2024 menokok RM191 kepada RM4,076 satu tan dan September 2024 meningkat RM176 kepada RM4,069 satu tan.

Kontrak Oktober 2024 naik RM157 kepada RM4,060 satu tan dan November 2024 meningkat RM139 kepada RM4,057 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 377,162 lot daripada 249,988 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menokok kepada 219,011 kontrak daripada 202,898 kontrak minggu lepas.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan meningkat RM170 kepada RM4,090 satu tan berbanding RM3,920 satu tan pada minggu sebelumnya.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN