KUALA LUMPUR, 5 Februari - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini disebabkan Indeks Dolar AS (DXY) merosot dengan pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan prospek yang lebih lemah, kata seorang penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.4285/4480 berbanding dolar US daripada 4.4400/4495 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY susut sekali lagi kepada 107.993 mata.
“Tinjauan Pembukaan Pekerjaan dan Pusing Ganti Buruh (JOLTS) AS menunjukkan jumlah bukaan pekerjaan Disember turun kepada 7.6 juta, lebih rendah daripada anggaran konsensus 8.01 juta.
“Ia adalah penurunan pertama selepas melaporkan kenaikan dua bulan berturut-turut dengan nisbah jumlah pekerjaan tersedia bagi setiap individu yang menganggur turun kepada 1.11 daripada 1.15 sebelumnya,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Mohd Afzanizam berkata prestasi pasaran buruh yang lebih lemah dipaparkan akan menjadikannya lebih menarik bagi Kadar Dana Rizab Persekutuan (Fed) AS yang lebih rendah.
“Justeru, ringgit dijangka akan terus menunjukkan prestasi menggalakkan hari ini, dijangka diniagakan antara RM4.42 hingga RM4.44 dengan paras sokongan dan rintangan masing-masing pada RM4.33 dan RM4.45,” katanya.
Dalam dagangan awal, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8729/8857 daripada 2.8581/8645 semalam, merosot berbanding euro kepada 4.5941/6144 daripada 4.5905/6003 dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.5259/5502 daripada 5.5167/5285 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia naik berbanding peso Filipina kepada 7.59/7.63 daripada 7.61/7.63 ketika ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 270.8/272.1 daripada 271.5/272.2 sebelum itu.
Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.2741/2887 daripada 3.2741/2813 sebelumnya dan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.1429/2121 daripada 13.1241/1580 sebelum itu. - BERNAMA