KUALA LUMPUR, 5 Februari - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meminda kadar duti antilambakan, ke atas pengimportan dawai keluli berlembar bagi konkrit prategasan dari China.
Ia berdasarkan kajian semula dilaksanakan pada 8 Ogos 2024, selepas Southern PC Steel Sdn. Bhd. mengemukakan permohonan mewakili pihak industri.
Kenyataan MITI menyebut, semakan dijalankan bagi menentukan kewujudan perubahan dalam margin lambakan.
"Dua pengeluar yang dinamakan dalam kajian semula itu masing-masing dikenakan duti sebanyak 9.07 peratus dan 3.12 peratus. Manakala, lain-lain pengeksport pada 21.72 peratus," menurut kenyataan MITI.
Kutipan duti akan dikuatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bermula hari ini hingga 24 Disember 2026.