KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin dalam sentimen berhati-hati mengenai hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2050/2260 daripada 4.2085/2155 pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan penurunan kadar faedah pada September semakin meningkat, dengan Rizab Persekutuan AS dijangka melaksanakan pengurangan kadar faedah pertamanya bagi tahun ini.
“Berdasarkan perbelanjaan pengguna menyumbang lebih dua pertiga daripada ekonomi AS, asas untuk penurunan kadar faedah pada September semakin kuat,” katanya kepada Bernama.
Indeks Sentimen Pengguna (CSI) University of Michigan merosot kepada 58.6 mata pada Ogos berbanding 61.7 mata pada bulan sebelumnya. Petunjuk lain seperti Indeks Keadaan Semasa dan Indeks Jangkaan turut mencatatkan penurunan pada Ogos.
“Ini menunjukkan perbelanjaan pengguna dijangka rendah manakala harga lebih tinggi disebabkan tarif import meningkat boleh menjejaskan mereka untuk berbelanja lebih,” katanya.
Berdasarkan perkembangan ini, ringgit boleh kembali kepada paras psikologi RM4.20 hari ini.
Tanggapan bahawa Fed mungkin lambat dalam menurunkan kadar faedah dilihat menyebabkan dolar AS rendah dalam tempoh terdekat. Indeks Dolar AS (DXY) berada pada 97.850 mata.
Pada sesi pembukaan hari ini, ringgit tinggi berbanding mata wang utama, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 4.9224/9470 daripada 4.9185/9267 pada Jumaat lepas.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8557/8701 daripada 2.8653/8702 pada Jumaat lepas dan naik berbanding pound kepada 5.6999/7283 daripada 5.7050/7145.
Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang serantau.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2777/2944 daripada 3.2820/2877 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.9361/13.0091 daripada 12.9760/13.0032.
Mata wang tempatan turut meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.41 daripada 7.37/7.39 sebelum ini dan hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 260.0/261.4 daripada 260.2/260.8.- BERNAMA