fb fb fb fb fb

KDNK suku kedua 4.4 peratus bukti keteguhan ekonomi Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua sebanyak 4.4 peratus bukti keteguhan ekonomi Malaysia, meskipun berdepan ketidaktentuan dasar perdagangan global.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata pencapaian itu melepasi jangkaan pasaran sebanyak 4.3 peratus, mencerminkan daya tahan Malaysia dalam mengimbangi cabaran luaran dengan sokongan permintaan domestik.

"Dalam persekitaran global yang ditandai dengan pengumuman tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat dan sikap berhati-hati pelabur, prestasi ini bukan sahaja kukuh, tetapi juga bukti keteguhan ekonomi Malaysia.

"Momentum berterusan dalam penggunaan swasta dan pelaburan menyerlahkan strategi Malaysia untuk mengukuhkan permintaan dalaman sebagai benteng terhadap ketidaktentuan global, meletakkan ekonomi pada kedudukan yang stabil untuk jangka masa terdekat,” katanya ketika dihubungi RTM.

Jelas beliau, pertumbuhan suku kedua itu juga disokong oleh peningkatan penggunaan swasta sebanyak 2.1 peratus kepada RM263.18 bilion berbanding suku sebelumnya.

Pelaburan baharu dan projek infrastruktur sedia ada turut menjadi pemacu penting, dengan peningkatan perbelanjaan merangsang aktiviti pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan.

Perkembangan itu, katanya, bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan, malah meningkatkan pendapatan isi rumah yang seterusnya menyokong penggunaan swasta.

Selain itu, komitmen berterusan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam sektor pertumbuhan tinggi termasuk tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan teknologi digital juga menunjukkan keyakinan pelabur terhadap daya tarikan Malaysia meskipun berdepan gangguan perdagangan global.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan ekonomi negara berkembang 4.4 peratus pada suku kedua 2025, mengekalkan momentum yang sama seperti suku pertama.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN