KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pelaburan strategik YCH Fusionaris Sdn. Bhd. membuktikan potensi pelaburan yang sebelum ini diumumkan menjadi kenyataan.
Beliau menerusi hantaran Facebook memaklumkan, pelaburan berjumlah RM500 juta dari syarikat logistik terkemuka itu di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor, merupakan hasil peluang yang dikenal pasti semasa misi perdagangan dan pelaburan ke Singapura.
"Pelaburan ini bukan sahaja melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan serantau, malah turut membuka 100 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan," menurutu hantaran itu.
Beliau menambah, YCH turut giat menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi logistik tempatan sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan negara.
Tengku Datuk Seri Zafrul menegaskan, ia adalah bukti jelas bahawa setiap inisiatif bawah Kerajaan MADANI merupakan langkah permulaan yang membawa kepada pelaburan berimpak tinggi demi kemajuan ekonomi dan teknologi negara.