fb fb fb fb fb

Ringgit dibuka sedikit tinggi, dipengaruhi hasil rundingan perdagangan AS-China

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 10 Jun- Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan pelabur dan peniaga berhati-hati mengenai hasil rundingan perdagangan antara China dan AS.

Pada pukul 8.00 pagi, mata wang tempatan sedikit meningkat kepada 4.2275/2370 berbanding dolar AS daripada 4.2290/2345 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks dolar AS (DXY) turun 0.25 peratus kepada 98.939 mata apabila rundingan perdagangan AS dan China berjalan seperti yang dirancang berdasarkan petunjuk positif daripada pegawai AS mengenai rundingan itu.

Beliau berkata data dari China menunjukkan perdagangan negara itu dengan AS turun ketara dengan eksport dan import masing-masing susut 34.5 peratus dan 18.1 peratus pada Mei.

“Angka itu mewakili penguncupan bulan kedua berturut-turut, manakala data itu memberi isyarat bahawa kejutan tarif mempunyai kesan ketara kepada perdagangan antarabangsa.

“Sementara itu, Indeks Harga Pengguna China juga berterusan mencatatkan angka yang tidak memberangsangkan selama empat bulan berturut-turut dengan bacaan terkini ialah -0.1 peratus tahun ke tahun pada April, menunjukkan prospek ekonomi mencabar ekoran permintaan yang lemah,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata USD/MYR kekal dalam julat kecil antara 4.231 dan 4.2458 semalam berikutan sentimen kalangan peniaga dan pelabur yang berhati-hati, dengan trend yang sama dijangka berterusan hari ini.

Pada sesi awal dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9242/9310 daripada 2.9344/2.9384 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding pound British kepada 5.7300/7428 daripada 5.7392/7466.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.8303/8412 daripada 4.8316/8379.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan lebih stabil berbanding dolar Singapura kepada 3.2876/2952 daripada 3.2908/2953 tetapi susut berbanding baht Thailand kepada 12.9463/9846 daripada 12.9414/9642 pada Isnin.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 259.4/260.1 daripada 259.5/260.0, dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.57/7.59.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM